Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Malaysian Timber Council (MTC) telah melaksanakan satu program penanaman pokok bersempena dengan sambutan Jubli Perak (25 Tahun) MPKj di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 15 Januari 2022.
Sebanyak 235 pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies pokok buah-buahan dan pokok terlindung telah ditanam oleh kakitangan serta sukarelawan MPKj, YHM dan MTC pada program tersebut bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Pokok yang ditanam termasuklah pokok kenanga (Cananga odorata), merawan siput jantan (Hopea odorata), janda merana (Salix babylonica), kasai (Pometia pinnata), kayu manis (Cinnamomum verum), cermai (Phyllanthus acidus), bidara (Ziziphus mauritiana), petai (Parkia speciosa), belimbing buluh (Averrhoa bilimbi) dan Belimbing Madu (Averrhoa carambola).
Program dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Work Hard, Play Hard & Pray Hard (WHP2H) MTC yang komited untuk menyokong projek pemuliharaan alam sekitar.
Program ini turut dihadiri Pemangku Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPKj, Kamarulzaman Salimin mewakili YDP MPKj, Tuan Haji Najmuddin Jemain, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Mukhtar Suhaili, Ketua Pegawai Operasi MTC, Roger Chin dan Ketua Bahagian Pengurusan Projek YHM, Dr. Rafidah Rashid.
Diharap lebih banyak kerjasama seperti ini dapat dijalinkan pada masa akan datang dalam memantapkan lagi usaha Penghijauan Malaysia.
hello100jutapokok@nres.gov.my