Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Kolej Vokasional Matang, Kuching telah menganjurkan aktiviti penanaman 1,403 pokok di Hutan Simpan (HS) Sabal, Simunjan pada 30 November 2022.
Aktiviti tersebut merupakan inisiatif Kelab Alam Sekitar kolej tersebut untuk meningkatkan integriti ekologi serta pemuliharaan kawasan hutan terutamanya kawasan HS Sabal.
Seramai 150 peserta yang terdiri daripada staf JHS, pensyarah serta pelajar kolej telah menghadiri program tersebut. Spesies-spesies pokok asli (indigenous) yang ditanam terdiri daripada belian (Eusideroxylon zwageri), bintangor putih (Calophyllum lowei), meranti lang (Rubroshorea elliptica), kapur bukit (Dryobalanops beccarii), luis ribu (Hopea vaccinifolia), luis kerangas (Hopea micrantha) dan resak padi (Vatica flavida).
Aktiviti tersebut selaras dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) dan Greening Sarawak.
Ia juga bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga kolej mengenai kepentingan pemuliharaan hutan serta meningkatkan ilmu tentang pokok-pokok hutan, kaedah penanaman dan penjagaan pokok.
Turut hadir, Ts Lim Ah Juan, Pengarah Vokasional Matang; Zulaiha Azlan, pensyarah selaku Ketua Kelab Alam Sekitar Kolej; dan Wan Abdul Khaliq Wan Aju, wakil JHS.
Sumber: Jabatan Hutan Sarawak
hello100jutapokok@nres.gov.my