Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menanam 2,000 anak pokok di Hutan Simpan (HS) Sabal, Simunjan pada 21 Mac lalu melalui Program “Nature Fun Ride, Run & Walk” yang diadakan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) 2023 Peringkat Negeri Sarawak.
Program ini dirasmikan oleh Datu Hamden Mohammad, Pengarah Hutan Sarawak. Turut hadir, Jack Liam, Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan); Happysupina Sait, Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan); serta Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar Harwood Timber Sdn. Bhd.
Seramai 250 orang menyertai program ini dan mereka terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan serta swasta, badan-badan bukan kerajaan, para pemimpin masyarakat dan penduduk sekitar Sabal serta kakitangan JHS.
Program ini bermula dengan aktiviti kayuhan, larian dan berjalan kaki sejauh 2.3km di HS Sabal dan diteruskan dengan penanaman pokok.
Spesies-spesies pokok asli yang ditanam terdiri daripada bintagor putih (Calophyllum lowii), selangan batu pinang (Shorea havilandii), resak tangkai ungu (Vatica vinosa), lun daun tebal (Richetia subcylindrica), kapur bukit (Dryobalanops beccarii), meranti lang (Shorea elliptica), meranti pitis (Rubroshorea ovata) dan meranti melantai (Rubroshorea macroptera).
Aktiviti penanaman pokok juga dijalankan oleh JHS secara serentak di pelbagai bahagian di Sarawak sempena sambutan HHA 2023. Penganjuran program penanaman ini menunjukkan komitmen dan sokongan penuh Kerajaan Negeri Sarawak kepada Program Penghijauan Malaysia dan ‘Greening Sarawak’.
Sumber: Jabatan Hutan Sarawak
hello100jutapokok@nres.gov.my