Seramai 34 peserta dari lapan negara yang menghadiri 'Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) New Joiner Field Trip' telah menyertai aktiviti penanaman pokok yang diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 5 Oktober 2023.
Pegawai Penyelidik Cawangan Pengurusan Hutan FRIM, Azharizan Mohamad Norizan yang menyambut kumpulan tersebut menyampaikan taklimat mengenai latar belakang serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan FRIM.
Pegawai Media FRIM, Lim Chung Lu kemudiannya memberi taklimat berkenaan aktiviti penanaman pokok serta memperkenalkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang sedang berlangsung.
Pengarah Jaminan (Director of Assurance) RSPO, Aryo Gustomo dari Indonesia berkata beliau bangga kerana dapat menyumbang kepada Program Penghijauan Malaysia melalui aktiviti ini.
Kumpulan yang juga terdiri daripada wakil-wakil dari Belanda, China, Colombia, Ghana, India dan Thailand tersebut berjaya menanam 50 pokok. Spesies-spesies pokok yang ditanam merangkumi keruing cogan (Dipterocarpus rigidus), nyatoh taban merah (Palaquium gutta), meranti rambai daun (Rubroshorea acuminata), meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii), sentul paya (Sandoricum beccarianum), merawan siput jantan (Hopea odorata), ramin melawis (Gonystylus bancanus) dan kasai (Pometia pinnata).
Mereka juga melawat denai alam FRIM dan Jejantas Rimba di Taman Botani.
Sumber: FRIM
hello100jutapokok@nres.gov.my