Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan Pejabat Perikanan Negeri Selangor telah menjalankan aktiviti penanaman pokok sempena penganjuran Program Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat pada 25 April 2024 di kompartmen 8, Hutan Simpan Sungai Lalang Tambahan.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menyempurnakan majlis tersebut dengan menanam pokok kelumpang burung (Sterculia parviflora).
Baginda diiringi Y.D.H Dato' Rosli Othman, Dato' Orang Kaya To' Engku Maha Bijaya Hulu Langat; Dato' Mohd Jusni Hashim, Pegawai Daerah Hulu Langat; Nazli Md Taib, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Langat; Azhar Ahmad, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor; dan Noraisyah Abu Bakar, Pengarah Perikanan Selangor.
Wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta 200 staf agensi kerajaan telah menanam 77 pokok machang (Mangifera foetida), rambai hutan (Baccaurea polyneura), perah (Elateriospermum tapos), kembang semangkuk (Scaphium longiflorum) dan jambu (Syzygium sp.).
Program tersebut dimeriahkan lagi dengan sesi pelepasan 10,000 anak ikan lampam ke dalam sungai. Para peserta juga berkesempatan untuk menjalankan aktiviti trek lasak seperti 'All-Terrain Vehicle' (ATV) 4x4 dan kunjungan ke menara tinjau di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Batangsi.
Sumber: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
hello100jutapokok@nres.gov.my