Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama MNRB Holdings Berhad dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah mengadakan aktiviti penanaman pokok di kampus UiTM Shah Alam, Selangor pada 21 Jun 2024 bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Acara tersebut dirasmikan oleh Prof. TPr. Dr Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM. Turut hadir, Zaharudin Daud, President dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB; serta Muhamad Hafni Ahmad Saraji, Ketua Seksyen (Perhutanan Tani dan Penghutanan Semula) JPSM.
Muhamad Hafni Satu menyampaikan taklimat mengenai Program Penghijauan Malaysia pada majlis.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 UiTM, 250 pokok yang terdiri daripada penaga lilin (Mesua ferrea), merawan kanching (Hopea subalata), merawan bunga (Hopea pubescens), tongkat ali (Eurycoma longifolia), mahkota dewa (Phaleria macrocarpa), melur (Jasminum sp.) dan jenjarum (Ixora chinensis) telah ditanam.
Acara tersebut dihadiri seramai 450 peserta termasuk staf MNRB yang juga merupakan alumni UiTM serta para pensyarah dan pelajar UiTM Shah Alam, Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti (BPTA).
Kolaborasi ini diharapkan dapat mencapai objektif Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam merakyatkan komitmen dan semangat untuk mengekalkan kawasan litupan hijau sebagai satu agenda nasional serta mewujudkan hubungan kerjasama yang baik untuk manfaat setiap pihak khususnya dalam aspek kelestarian alam.
Sumber: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
hello100jutapokok@nres.gov.my