Peserta 'National Urban Forestry Conference' (NUFC) telah menjalankan aktiviti penanaman pokok di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mutiara Rini, Johor pada 24 Oktober 2024.
NUFC anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama MBIP ini dihadiri 140 peserta yang terdiri daripada para penyelidik, ahli akademik, wakil-wakil pihak berkuasa tempatan, badan-badan korporat, badan bukan kerajaan serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
Aktiviti penanaman pokok merupakan pengisian lawatan teknikal persidangan bertujuan menyokong Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta memupuk semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan peserta.
Para peserta telah disambut oleh Azizul Jabar Ismail @ Abd Malek, Pengarah Jabatan Landskap MBIP. Di samping mempelajari tentang spesies-spesies pokok hutan, peserta juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pemeriksaan pokok menggunakan peralatan seperti PiCUS Sonic Tomograph dan Resistograph yang disampaikan oleh Arbogear Malaysia.
Sebanyak 50 pokok pelbagai spesies termasuk merbau (Intsia palembanica), kempas (Koompassia malaccensis), pulai bukit (Alstonia macrophylla), kundang (Bouea macrophylla), tampoi (Baccaurea macrocarpa) dan asam gelugur (Garcinia atroviridis) telah ditanam sempena persidangan ini.
Sumber: FRIM
hello100jutapokok@nres.gov.my