Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Westports Malaysia Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memulakan inisiatif 'Selangor Environmental Conservation and Cultural Alliances' (SECCA) pada 27 September 2024.
Majlis pemeterian yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan hutan paya lau dan hidupan marin serta bertujuan memupuk keharmonian bersama komuniti Orang Asli di Pulau Indah.
Pertukaran MoC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YHM, Ts. Dr Nurul Muiz Murad; CEO MBI, Ts. Saipolyazan M Yusop; dan CEO Westports, Eddie Lee Mun Tat diadakan bersempena dengan Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Westports Malaysia, Pelabuhan Klang, Selangor.
Turut hadir, Menteri Besar, YAB Dato' Seri Amirudin Shari; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Inisiatif ini merupakan kerjasama korporat, kerajaan negeri dan persekutuan yang akan memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti tempatan di sekitar Pulau Indah secara harmoni, inklusif dan mampan.
Bawah inisiatif ini, Westports Malaysia akan melaksanakan rancangan penanaman semula hutan paya laut di kawasan seluas hampir 100 hektar di lokasi yang akan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
YHM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bawah inisiatif ini untuk menggalakkan penyertaan komuniti tempatan dan industri serta melibatkan pakar-pakar dalam menilai dan mengukur kesan alam sekitar, sosioekonomi serta mitigasi pelepasan karbon daripada program ini.
MBI akan bertindak sebagai badan pentadbir dan penyelaras strategik bagi keseluruhan inisiatif SECCA.
Sumber: Yayasan Hijau Malaysia
hello100jutapokok@nres.gov.my